Custom Search

Wednesday, February 28, 2007

Syor sistem kontrak berpusat elak ketirisan

Berita Harian
Rabu, 28 Februari 2007

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan diminta mewujudkan sistem perolehan kontrak berpusat bagi menyokong penyertaan Bumiputera mengeluar dan membekal komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan mengatasi masalah ketirisan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Mara kini giat membangunkan usahawan Bumiputera dalam IBS serta rangkaian peruncitan bahan binaan oleh golongan itu, sejajar galakan kerajaan menggunakan pendekatan IBS bagi projeknya.Katanya, IBS iaitu bahan binaan yang dihasilkan di kilang sebelum dipasang di tapak, tidak memadai menggalakkan Bumiputera menceburinya termasuk membuka kilang mengeluarkan komponennya, jika terhad bagi projek di bawah Mara saja.

Langkah akhir menentukan IBS menjadi amalan di negara kita dan penyertaan Bumiputera secara berkesan ialah kerajaan dapat melahirkan satu sistem yang mana perolehan bagi komponen dikeluarkan Bumiputera ini dilaksanakan melalui satu perolehan berpusat atau central contract.“Atas sebab itu kementerian akan memberi pandangan kepada Kementerian Kewangan supaya disyaratkan kontrak berpusat komponen IBS.itu baru ada jaminan terhadap komponen dikeluarkan,” katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Peluang-Peluang Perniagaan Bumiputera Melalui IBS dan Peruncitan Perkakasan Industri Pembinaan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Aplikasi IBS selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu mengurangkan jumlah tenaga kerja asing di Malaysia yang mencecah 250,000 orang. Ia juga menyingkatkan tempoh penyiapan projek serta meningkatkan aspek keselamatan dan kebersihan tapak.Masalah ketirisan projek Bumiputera sebelum ini turut dikaitkan kurangnya penyertaan golongan itu dalam perbekalan bahan binaan, mewakili 60 peratus kos projek.Mohamed Khaled berkata, pihaknya mahu syarikat Bumiputera mengeluarkan antara 100 hingga 120 komponen binaan daripada 400 komponen yang ada dalam industri itu.Katanya, kementerian mahu memastikan Bumiputera melengkapi rantaian nilai industri termasuk menjadi pemasang bahan binaan itu serta perunding.

Kita sudah lantik 15 syarikat Bumiputera membabitkan projek UEM di Putrajaya,” katanya.Mohamed Khaled berkata, program membangunkan rangkaian perkakasan dan bahan binaan pula termasuk menyediakan 14 mentor iaitu satu pada setiap negeri dan 56 mentee, sebagai pembekal utama dan sampingan membekalkan bahan binaan Bumiputera.